Mesyuarat ADMM Ke-19 bersidang di Kuala Lumpur, Malaysia



​​


Siaran Akhbar dan Foto  : Kementerian Pertahanan





 

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Jumaat, 31 Oktober. - Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-19 berlangsung hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia.


Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin, selaku Pengerusi ADMM bagi tahun 2025.


Mesyuarat ADMM pada tahun ini mencatatkan satu detik bersejarah apabila Timor-Leste menyertai mesyuarat buat pertama kalinya sebagai ahli penuh ASEAN.


Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Turut serta dalam rombongan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.


Juga menghadiri mesyuarat tersebut ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Mohd. Aizul Hakim bin Pehin OKIP Dato Seri Setia Haji Suyoi.


Dengan tema 'ASEAN Unity for Security and Prosperity', Mesyuarat ADMM Ke-19 berjaya menerima pakai 10 inisiatif ADMM, jumlah tertinggi pernah dicapai dalam tempoh setahun, termasuk The Third Additional Protocol to the Concept Papers on the Establishment of the ASEAN Defence Ministers' Meeting (ADMM) and ADMM-Plus.


Mesyuarat juga mencapai kesepakatan dalam menerima-pakai kenyataan Joint Statement by the ASEAN Defence Ministers on the Implementation of the ASEAN Political-Security Community (APSC) Strategic Plan of the ASEAN Community Vision 2045, dan deklarasi Kuala Lumpur Joint Declaration of the ASEAN Defence Ministers' Meeting on ASEAN Unity for Security and Prosperity.


Beberapa sidang lain juga diadakan di samping Mesyuarat ADMM Ke-19. Majlis Makan Tengah Hari Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-China telah dilaksanakan dan dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Malaysia, selaku Pengerusi ADMM, dan Menteri Pertahanan Nasional Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Laksamana Dong Jun.


Ini diikuti dengan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-India yang dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled dan Menteri Pertahanan Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Rajnath Singh.


NBD turut mengadakan pertemuan-pertemuan dua hala secara berasingan dengan Malaysia dan Republik Demokratik Timor-Leste.


Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada ADMM-Plus Ke-12 pada keesokan harinya, 1 November 2025.

 

Close